KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai inisiatif meningkatkan keupayaan, kemampanan kontraktor bumiputera supaya lebih berdaya saing dalam industri pembinaan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui MoU itu, CIDB akan menyediakan program pembangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang berstruktur dan komprehensif dalam membangunkan rantaian bekalan IBS.
Menurutnya, CIDB dan Mara akan bekerjasama membangun dan memudahcara usahawan IBS, melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) IBS. Sehingga kini sebanyak 187 pengeluar IBS yang berdaftar, aktif dan mempunyai Program Penilaian dan Pensijilan (Impact) IBS daripada CIDB dan daripada jumlah itu, sebanyak 42 syarikat membabitkan bumiputera.
MoU tersebut ditandatangan oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf serta disaksikan oleh Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, bagi program pembangunan vendor (VDP), sebanyak dua vendor dibangunkan iaitu Precast Engineering Sdn Bhd dan Mutual Premium Sdn Bhd. Kedua-dua vendor tersebut mempunyai kapasiti sebagai pengeluar sistem konkrit pratuang, kontraktok IBS dan pemasang IBS di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Tambah beliau, bagi kerjasama dengan Mara, CIDB menganggarkan sebanyak lapan vendor dapat dibangunkan membabitkan usahawan bumiputera Mara. Selain itu, CIDB menerusi anak syarikatnya iaitu CIDB IBS sdn Bhd menyediakan latihan IBS kepada usahawan yang dibiayai oleh Mara dan seramai 132 kontraktor dan personel binaan telah dilatih.
“CIDB juga akan memudahcara usahawan latihan Mara dalam membangunkan perniagaan mereka di dalam Tamab Perindustrian IBS yang pembangunannya sedang di dalam perancangan oleh CIDB Malaysia,” ujarnya.
“Mara juga sentiasa mencari ruang dan peluang bagi memastikan graduan lepasan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) serta pelatih Giat Mara dalam bidang seni bina dan teknologi bangunan menjadi modal insan yang kompeten di pasaran pekerjaan.
“Justeru, kerjasama bersama CIDB merupakan satu kolaboratif industri yang tepat dalam memacu pembangunan industri pembinaan dalam negara,” katanya.