Selamat Datang ke Laman Web PKPM

Search

LAMAN WEB RASMI

PERSATUAN KONTRAKTOR PERUMAHAN MALAYSIA

PKPM Gesa Kerajaan Kaji Semula Cadangan Pelaksanaan SST ke Atas Industri Pembinaan

PKPM GESA KERAJAAN KAJI SEMULA CADANGAN PELAKSANAAN SST KE ATAS INDUSTRI PEMBINAAN


Persatuan Kontraktor perumahan Malaysia (PKPM) menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semula cadangan untuk meluaskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke dalam industri pembinaan.

Dalam satu kenyataan, Presiden PKPM, IDr. Dr. Muhsin Abdul Ghani menyatakan bahawa industri pembinaan ketika ini sudah pun tertakluk kepada pelbagai lapisan cukai yang merangkumi pelbagai aspek pelaksanaan projek — termasuk bahan binaan, tenaga kerja dan peralatan.

Menurut Dr. Muhsin, pengenalan cukai baharu — khususnya jika dilaksanakan secara retroaktif (berkuat kuasa ke belakang) — berisiko menjejaskan kontrak sedia ada, bajet serta jadual pelaksanaan projek. Situasi ini dijangka menimbulkan pelbagai masalah kerana pihak pelanggan lazimnya enggan menanggung sebarang kos tambahan berkaitan cukai yang tidak termaktub dalam perjanjian asal.

Akhirnya, beban kewangan ini terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor — terutamanya kontraktor reka dan bina (design & build contractor) — yang pastinya memberi tekanan besar kepada kelangsungan operasi serta margin keuntungan mereka.

PKPM yang turut mewakili kontraktor-kontraktor bina rumah atas tanah sendiri turut menyuarakan kebimbangan bahawa langkah ini akan terus membebankan ahli-ahli yang baru sahaja mula bernafas selepas melalui tempoh sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.


IDr Dr Muhsin Abdul Ghani

Presiden PKPM