19 MAC 2026
Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa langkah susulan kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia daripada RM3.92 kepada RM4.72 seliter, iaitu peningkatan sebanyak 80 sen.
Presiden PKPM, Dr Muhsin Abdul Ghani berkata, ini memandangkan kenaikan harga bahan api itu dijangka memberi kesan langsung kepada kos operasi dalam industri pembinaan, khususnya membabitkan penggunaan jentera berat, logistik penghantaran bahan binaan serta pergerakan tenaga kerja ke tapak projek.
Katanya, bagi mengurangkan kesan langsung berkenaan, kerajaan boleh menyediakan insentif bersasar kepada kontraktor tempatan, mengkaji semula mekanisme kos bahan binaan dalam kontrak sedia ada dan memberi kelonggaran atau sokongan khas kepada projek perumahan mampu milik.
“Ini memandangkan kenaikan harga diesel pastinya akan meningkatkan kos keseluruhan projek perumahan termasuk kos bahan binaan yang bergantung kepada pengangkutan.
“Kesannya juga akan terkena pada kontraktor kecil dan sederhana memandangkan margin keuntungan mereka yang semakin mengecil.
“Kesannya turut dirasai pada harga jualan rumah sekali gus memberi tekanan kepada pembeli dan projek sedia ada mungkin mengalami penyesuaian semula bajet dan jadual pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Media melaporkan, selaras dengan perubahan harga bahan api global di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), Kementerian kewangan memaklumkan harga runcit bahan api bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026 bagi RON97 dinaikkan kepada RM4.55 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.85 seliter).
Turut dinaikkan ialah harga diesel (Semenanjung Malaysia) kepada RM4.72 seliter (harga 18 Mac 2026, RM3.92 seliter), manakala RON95 tanpa subsidi serta diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) masing-masing kekal pada RM3.27 seliter dan RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, PKPM komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memastikan industri pembinaan perumahan kekal mampan dan tidak membebankan rakyat.