Selamat Datang ke Laman Web PKPM

Search

LAMAN WEB RASMI

PERSATUAN KONTRAKTOR PERUMAHAN MALAYSIA

Kepentingan Ekosistem Inklusif Dalam Industri Pembinaan – Sinar Harian

16 MAC 2026

SHAH ALAM – Penjualan saham IJM Corporation Bhd kepada Sunway Berhad akan mewujudkan risiko penumpuan kuasa dalam industri pembinaan di negara ini.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Dr Muhsin Abdul Ghani meminta kerajaan melakukan pemantauan bagi memastikan rantaian bekalan tempatan yang lebih adil.

“Perkara itu termasuk memastikan subkontraktor, vendor bahan binaan dan perunding terus diberi ruang secara adil,” tegasnya.

Muhsin mengakui kewujudan syarikat mega dalam industri pembinaan akan memberi kelebihan dalam meningkatkan daya saing di peringkat global, kecekapan kos dan keupayaan mengurus projek berskala besar serta berimpak tinggi.

Namun, ujarnya, keseimbangan pasaran perlu dipelihara agar tidak berlaku penumpuan melampau yang boleh memberi tekanan kepada kontraktor kecil dan sederhana terutama dalam sektor perumahan.

“Pendirian PKPM adalah jelas, isu ini bukan dilihat dari sudut kaum atau pemilikan individu. Sebaliknya, bagaimana memastikan ekosistem industri kekal inklusif, peluang kepada pemain tempatan terpelihara dan perusahaan kecil dan sederhana tidak terpinggir dalam jangka masa panjang,” katanya.

Menurutnya, perubahan pegangan saham antara dua konglomerat itu sepatutnya tidak menjejaskan projek mega strategik negara.

Ujarnya, kebanyakan projek mega dilaksanakan melalui perjanjian konsesi, kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) atau model perkongsian awam-swasta (PPP) yang kekal terikat di sisi undang-undang.

“Kami melihat dari segi kontrak dan tadbir urus, projek mega strategik negara sepatutnya tidak terjejas secara langsung,” katanya.