31 MAC 2026
SHAH ALAM – Industri pembinaan negara berdepan kebimbangan apabila harga bahan binaan dan kos berkaitan meningkat sehingga 15 peratus susulan konflik peperangan di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Dr Muhsin Abdul Ghani berkata, keadaan itu berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek, meningkatkan risiko kelewatan dan memberi kesan kepada kos keseluruhan pembinaan.
“Sekiranya tiada langkah penyesuaian diambil, adalah dibimbangi projek berisiko mengalami kelewatan yang serius atau berpotensi terbengkalai.
“Kenaikan harga yang mencecah sehingga 15 peratus dan masih tidak menentu pada masa kini telah memberi tekanan kepada industri pembinaan, khususnya dalam sektor swasta seperti pembinaan rumah atas tanah sendiri, kerja-kerja renovasi serta hiasan dalaman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Situasi geopolitik melibatkan konflik di Asia Barat semakin tegang sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari.
Keadaan itu menyaksikan peningkatan harga minyak global yang ketara menyebabkan beberapa negara terpaksa merangka pelbagai langkah drastik bagi mengurangkan tekanan akibat kekurangan bekalan bahan api berkenaan.
Ujar Muhsin, situasi tersebut secara langsung memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos logistik dan harga bahan mentah di pasaran.
“Sehubungan itu, pendekatan lebih fleksibel dan kerjasama antara semua pihak amat diperlukan bagi memastikan projek dapat diteruskan dengan baik tanpa membebankan mana-mana pihak,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kenaikan harga bahan binaan yang tidak menentu itu merupakan antara cabaran besar yang sedang dihadapi industri pembinaan negara ketika ini.
“Keadaan ini memerlukan kefahaman dan kerjasama semua pihak agar kelangsungan projek dapat dipastikan tanpa menjejaskan kualiti serta kestabilan industri pembinaan secara keseluruhan,” kata beliau.